Memahami Sihir!

KOK

Senin, 24 Maret 2014

Memahami Sihir!

Sihir dari segi istilah merupakan satu perbuatan menyakiti atau mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang disihir secara tersembunyi (ghaib) yang melibatkan makhluk halus, dan dilakukan di luar hukum alam bagi mencapai tujuan tertentu, contohnya menyakiti seseorang, mengubati penyakit dan juga meramal masa hadapan. Penggunaan istilah sihir dalam alam Melayu pada kebiasaannya merujuk kepada ilmu hitam.

Ibnu Khaldun dalam buku Muqaddimah menjelaskan sihir seperti berikut:

Ilmu sihir dan tilik adalah satu ilmu tentang persediaan jiwa manusia untuk mempengaruhi alam kebendaan sama ada tanpa bantuan atau dengan bantuan dari langit. Yang pertama adalah sihir dan yang kedua adalah tilik. Oleh kerana ilmu-ilmu ini ditolak di sisi syariat kerana mengandungi bahaya, dan kerana di antara syarat-syaratnya ialah menghadap selain daripada Allah, seperti bintang atau sebagainya, maka kitab-kitabnya telah lenyap di kalangan manusia kecuali yang terdapat dalam kitab-kitab bangsa-bangsa purba termasuk yang ujud sebelum Nabi Musa AS seperti bangsa Qibti dan Kaldani.


Sihir dalam sejarah masyarakat dahulu
Antara perkara yang dijumpai dalam catatan Mesir purba adalah mentera khusus untuk merawat kecederaan disebabkan kebakaran, seperti kata-kata Isis dalam satu lagenda Mesir Isis dan Orisis” untuk menyembuhkan kanak-kanak bernama Horus yang dibakar oleh ahli sihir :
Keluarlah, wahai engkau yang datang di dalam gelap dan masuk secara sembunyi-sembunyi! Adakah engkau datang untuk mengucup kanak-kanak ini? Aku tidak mengizinkan mengucupnya. Adakah engkau datang untuk mengambilnya? Aku tidak mengizinkanmu mengambilnya dariku. Aku telah melindunginya darimu dengan rumput apis yang memedihkanmu, dengan bawang yang menyakitkanmu, dengan madu yang manis dirasa oleh makhluk-makhluk yang hidup dan pahit di mulut makhluk-makhluk yang mati, dengan beberapa bahagian yang busuk dari ikan abad dan dengan tulang ikan sungai.

Kisah sihir dalam Quran
* Dalam Quran terdapat kisah dua malaikat Harut dan Marut (Surah Al-Baqarah, ayat 102), yang diturunkan untuk menentang tukang-tukang sihir yang lumrah pada zaman tersebut. Antara sihir yang diajar oleh Harut dan Marut kepada manusia adalah sihir yang boleh memisahkan antara suami dan isteri. Tujuan kedua-dua malaikat ini adalah untuk menunjukkan betapa sihir itu menuju ke jalan kekufuran. Sihir memisahkan suami dan isteri telah diturunkan di Babil sebagaimana ditemui beberapa mentera lama yang tertulis dalam bahasa Sumari, iaitu bahasa kuno yang wujud beberapa abad sebelum masehi.

* Setiap Nabi dikurniakan mukjizat yang merupakan lumrah di kalangan umatnya pada masa itu. Nabi Musa AS dikurniakan mukjizat untuk berlawan dengan tukang-tukang sihir semasa zaman baginda, yang pada masa itu adalah pemimpin dan ketua-ketua kaum, sebagaimana dikisahkan dalam Surah Taha, ayat 63-69.

* Rujukan mengenai sihir amat juga amat jelas dalam Surah Al-Falaq yang diturunkan setelah Nabi disihir oleh seorang Yahudi Arab.

* Kisah mengenai takhta Ratu Balqis semasa zaman Nabi Sulaiman yang dapat dipindahkan sekelip mata oleh seorang manusia seperti yang diceritakan dalam Surah An-Naml, ayat 38-42.

Kedudukan sihir dalam Islam
Penganut agama Islam dilarang keras daripada mengamalkan sihir, kerana dianggap mengingkari hukum Allah/alam dan boleh jatuh syirik. Ia seolah-olah cuba menyaingi kuasa Allah.

Kedua-dua mazhab Sunni dan Shiah melarang penggunaan sihir. Di dalam aliran Sufi bagaimanapun terdapat konsep “barakah” yang merujuk kepada “rahmat” atau “kuasa Tuhan” yang diberikan kepada orang alim. Juga masih terdapat orang Islam yang menggunakan jin bagi tujuan yang baik seperti dalam perubatan dengan bantuan dari ayat Quran dan doa. Mazhab Wahhabi bagaimanapun melihat segala penggunaan jin atau makhluk halus walaupun untuk tujuan baik sebagai syirik.

Sihir di Alam Melayu
Ilmu hitam yang dapat diamalkan masyarakat Melayu terbahagi kepada beberapa bahagian seperti berikut:

1. Melindung diri
-Kebal
-Perubatan

2. Mendapatkan kelebihan
-Kesaktian
-Pengasih – Sejenis ilmu hitam yang dapat membangkitkan rasa kasih seseorang terhadap seseorang.
-Perapun
-Gagah
-Perangsang
-Penderas
-Pukau

3. Mengawal/Memusnahkan musuh
-Penunduk: Digunakan untuk menundukkan orang lain seperti nasi tangas untuk menundukkan suami.
-Tuju: Jampi-jampi yang membuat orang sakit. Juga menggunakan alatan lain seperti telur layang (telur yang telah dijampi) untuk menyakiti orang dan boleh membawa maut.
-Pelalai

4. Cuca – Jampi yang boleh menundukkan musuh atau yang dapat mengubati luka.

5. Meramal masa hadapan

6. Alimun


Sihir yang diamalkan boleh dikelaskan menurut beberapa kelompok seperti berikut:-
1. Saka – Menggunakan jin/shaitan – kadam, toyol, datuk, suruhan, roh orang mati, hantu dll.
2. Azimat
3. Menggunakan mentera,jampi, serapah – ayat-ayat tertentu.

Mereka yang merawat sihir biasanya melalui beberapa kaedah atau cara:-
1. Menggunakan ayat-ayat suci
2. Menggunakan kuasa dalaman atau tenaga batin
3. Menggunakan bantuan makhluk halus lain.

Pengamal perubatan Melayu yang merawat mangsa sihir boleh digolongkan kepada beberapa bahagin seperti:-
1. Pawang
2. Dukun
3. Bomoh
4. Orang alim – melalui penggunaan ayat-ayat Al Quran.

Sihir dalam rujukan budaya pop
Di dalam media barat terutamanya yang ditujukan kepada kanak-kanak, ahli sihir sering digambarkan sebagai wanita tua yang jahat dengan kulit yang berkedut dan topi berbucu tajam, berbaju hitam atau ungu, dengan hidung yang berketuat and kadang-kadang kuku yang panjang.

Ahli sihir selalunya menaiki penyapu terbang seperti dalam cerita Harry Potter dan filem Hocus Pocus. Mereka selalunya didampingi dengan kucing hitam dan terdapat ahli sihir yang baik seperti dalam cerita Bewitched, Charmed dan The Craft.

0 komentar:

Posting Komentar